HomeBeritaPelekat Barbie di kereta undang perhatian penjenayah

Pelekat Barbie di kereta undang perhatian penjenayah

DEMAM filem Barbie masih terasa khususnya dalam kalangan wanita yang sinonim dengan rona merah jambu.

Dek kerana populariti filem berkisarkan anak patung itu meningkat, ramai yang mengambil kesempatan menjual produk berunsurkan Barbie.

Salah satu produk laris dijual adalah pelekat Barbie yang diletakkan di kenderaan.

Dengan berharga sekitar RM8 hingga RM16, pelekat comel itu yang dikategorikan dalam harga mampu milik menjadi pilihan pemandu wanita.

Namun, tanpa sedar pelekat Barbie yang diletak di luar kenderaan itu berupaya menarik perhatian penjenayah.

Perkara itu berikutan pastinya penjenayah lebih mudah menyerang para pemandu wanita kerana kaum ini seringkali dilabelkan lemah.

Malah, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim turut berpandangan fenomena pelekat Barbie itu bakal membahayakan pemandu wanita terutamanya jika berada di atas jalan raya.

“Isu ini kurang dibangkitkan, namun saya lihat ia mampu mengundang bahaya kepada pemandu wanita. Dengan adanya pelekat, hiasan pada kereta sedemikian, ia boleh menyebabkan akan orang luar ingin mengusik dan sebagainya.

“Kalau boleh kereta jangan hias dan nampak terlalu lembut, ia seolah-olah membuka ruang, malah mengundang pembuli jalan raya untuk sasar mangsa seterusnya,” katanya seperi dilapor Kosmo.

Tambah Sahul, ruang dan peluang terbuka akan membawa kepada jenayah yang lebih teruk seperti gangguan seksual, pecah kereta, ragut, culik dan diintip.

“Pada pendapat saya, tidak perlu berlebihan untuk menghias kereta, ataupun tidak perlu hias langsung kerana ia sesuatu yang berpotensi menarik perhatian orang terutamanya pembuli jalan raya dan kaki seksual.

“Apabila diganggu, pasti individu yang menjadi mangsa tidak akan rasa selamat dan tenteram. Segala akibat itu akan menyusahkan dan mengganggu ketenteraman diri.

“Sememangnya, hias kereta itu adalah hak pemilik kenderaan. Ini adalah nasihat saya sahaja supaya tidak berlebihan kerana malang itu tidak berbau,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor