KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataan berunsur fitnah mendakwa, hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan di bawah pentabiran bekas Perdana Menteri itu.
Tuntutan tersebut dikemukakan dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.
Menurut surat berkenaan, firma guaman tersebut berkata permohonan maaf kepada anak guam mereka, iaitu Muhyiddin perlu disiarkan di akaun Facebook Anwar, semua laman web serta platform di mana kenyataan fitnah tersebut disiarkan.
Selain itu, dalam tempoh 24 jam daripada penerimaan surat berkenaan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu perlu mengemukakan surat atau dokumen yang ditandatangani, mengatakan Anwar sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun lalu meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion.
Pada masa sama, Muhyiddin menerusi firma guaman itu menuntut agar Anwar menarik balik semua kenyataan fitnah tersebut dan memadamkan semua penyiaran kenyataan fitnah dalam tempoh sama selepas menerima surat berkenaan.
“Bahawa Datuk Seri (Anwar) memberi aku janji yang Datuk Seri tidak akan mengulangi kenyataan fitnah tersebut dan/atau membuat apa-apa kenyataan lain dan/atau lanjut yang memfitnah anak guam (Muhyiddin) kami.
“Bahawa permohonan maaf dan aku janji tersebut dibuat tertakluk kepada kepuasan dan/atau syarat-syarat seperti dipersetujui oleh anak guam kami
“Bahawa Datuk Seri membayar ganti rugi dalam jumlah yang dipersetujui anak guam kami,” demikian menurut surat tersebut.
Jelas surat tersebut lagi, kenyataan fitnah dikeluarkan Anwar disifatkan pembohongan, palsu dan mengelirukan dalam maksud biasa dan semula jadi atau sindiran telah mencemar dan merosakkan nama baik serta reputasi anak guam mereka.
“(Kenyataan fitnah itu) mencalar imej dan integritinya sebagai seorang mantan Perdana Menteri dan pemimpin negara.
“Kenyataan fitnah tersebut juga menimbulkan kebencian dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap anak guam kami sehingga menyeret anak guam kami ke dalam kehinaan dan skandal awam,” tambah firma guaman itu lagi.
Jika Anwar gagal mematuhi tuntutan-tuntutan dalam tempoh ditetapkan, firman guaman itu berkata pihaknya diarah untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri.
“Tetapi tidak terhad kepada menuntut ganti rugi dan relif injuksi tanpa notis lanjut kepada Datuk Seri (Anwar),” kata firma tersebut.
Sebelum ini, Muhyiddin dalam kenyataan memaklumkan pelupusan hutang peneroka Felda sudah dilakukannya pada 2021, sekali gus mendakwa tuduhan bahawa beliau tidak melaksanakan perkara itu ketika mentadbir negara adalah tidak benar.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pelupusan hutang itu disahkan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari lalu. – ASTRO AWANI