TANGKAK: Seorang pemandu lelaki maut apabila tercampak keluar selepas melanggar sebatang pokok di bahu jalan berhampiran kebun bunga Gwee Song Pek, Kampung Sungai Jaya, Bukit Gambir di sini malam semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farizan Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.35 malam mengenai kemalangan sebuah kereta jenis Proton Gen-2.
Sehubungan itu, komander operasi diketuai PBK II Mohd. Khalid Mohd Aris dengan kekuatan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kita dapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Proton Gen-2 terbabas melanggar sebatang pokok di bahu jalan dan difahamkan mangsa berusia 21 tahun memandu seorang diri dari arah Grisek ke Bukit Gambir.
“Mangsa kemudian telah tercampak keluar dari kereta semasa kemalangan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo hari ini.