HomeBeritaPemandu treler kongsi realiti berjauhan dengan anak bini, lepas rindu di jejantas

Pemandu treler kongsi realiti berjauhan dengan anak bini, lepas rindu di jejantas

CYBERJAYA: Bukanlah suatu hal yang mudah untuk dilalui oleh seorang pemandu treler lebih-lebih kerjaya itu memerlukan mereka berada di jalan raya setiap hari sehingga terpaksa mengorbankan waktu lapang bersama keluarga.

Itulah yang dialami seorang pemandu treler, Muhammad Ghaffar Ilham Kamaruddin, 30, yang baru-baru ini tular di media sosial ekoran video pertemuannya bersama anak-anak di jejantas di Pasir Gudang, Johor.

Dalam video itu, kelihatan isteri dan empat orang anaknya berusia antara 11 bulan hingga tujuh tahun menunggu untuk menemuinya di jejantas.

Menurutnya, video tersebut dirakam bertujuan untuk mengenang memori mereka sekeluarga.

“Sebelum ini saya pandu kargo dan hanya pulang ke rumah seminggu sekali saja sebelum saya ubah angin pandu treler tangki pula dan pulang ke rumah dua minggu sekali kerana order di sekitar Johor Bahru sementara keluarga di Batu Pahat.

“Setiap kali ada order di Melaka dan Senawang, Negeri Sembilan saya beritahu isteri (Nur Syarzurah D Wanis, 26) supaya dia dan anak tunggu di mana-mana lokasi untuk kami bertemu sekejap bagi melepaskan rindu.

“Sekarang kami tinggal bersama, cuma masa bersama keluarga masih kurang kadang-kadang dua hari sekali baru balik, tetapi saya usaha untuk pulang ke rumah juga biarpun bila sampai anak sudah tidur,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Jelas Muhammad Ghaffar, meskipun dia terlepas peluang melihat anak-anaknya membesar namun dia berharap segala pengorbanan itu membuahkan kesungguhan buat anak-anak untuk terus belajar bersungguh-sungguh.

“Kerjaya sebagai pemandu treler menuntut masa saya di jalan raya setiap hari sehingga kerap terlepas peluang melihat anak membesar.

“Saya anggap ini pengorbanan dalam membesarkan anak dan berharap mereka menghargainya dengan belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor