CYBERJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu, yang memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.
Menurutnya, amaun pencen asal adalah berdasarkan tafsiran, iaitu bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012, manakala bagi pegawai awam yang bersara mulai 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.
“Perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Anwar berkata, kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pesara semasa berkhidmat dan prihatin dengan kebajikan pesara dalam situasi ketika ini.
Justeru katanya, kerajaan juga akan mengkaji semakan gaji perkhidmatan awam dan ia akan turut membabitkan pesara perkhidmatan awam.
“Penyelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut peratusan kenaikan yang ditetapkan selaras dengan Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238)
“Hasil keputusan ini diharap dapat memberikan impak positif kepada kakitangan awam, pesara perkhidmatan awam dan kerajaan,” katanya.