HomeBeritaPeneroka Felda Perasu masih bayar hutang RM200-RM300

Peneroka Felda Perasu masih bayar hutang RM200-RM300

 

GUA MUSANG: Lebih 200 peneroka di Felda Perasu di sini mendakwa mereka masih membuat pembayaran hutang antara RM200 sehingga RM300 setiap bulan meskipun dilaporkan hutang Felda berjumlah RM8.3 bi­lion sudah dilupuskan sejak dua tahun lalu.

Beberapa peneroka turut mendakwa, mereka tidak pernah menerima sebarang penyata hutang sejak mendiami rancangan tanah itu lebih 35 tahun lalu, lapor Kosmo! Online.

Seorang peneroka, Mohamad Zin Hassan, 73, berkata, kebanyakan peneroka di kawasan itu ketika ini bingung dan tidak faham tentang status hutang mereka.

Katanya, sebagai peneroka, mereka tidak mahu selama-lamanya dibelenggu dengan beban hutang.

“Saya sendiri tidak pernah menerima penyata hutang yang mengandungi berapa baki hutang atau berapa jumlah yang telah dipotong.

“Kalau boleh, hantar penyata kepada setiap rancangan ma­sing-masing dan edar kepada peneroka. Apabila edar kepada peneroka, kami akan faham hutang telah dipotong atau tidak,” katanya.

Mohamad Zin berkata, matlamat pihak peneroka kini adalah ingin mengetahui tentang jumlah hutang mereka.

“Saya hairan juga kenapa susah sangat untuk keluarkan pe­nyata hutang Felda ni. Sedangkan jabatan lain ada audit setiap tahun.

“Felda sudah tentu mempunyai pengurusan syarikat yang terbaik, kami (peneroka) harapkan ada dokumen hitam putih untuk urusan hutang ini,” katanya.

Seorang lagi peneroka ge­nerasi pertama, Ibrahim Nor, 75, berkata, dia juga keliru dengan kedudukan hutangnya.

Katanya, dia sedih kerana pada usia lanjut masih lagi dibebani dengan jumlah hutang yang banyak dan berharap pihak Felda dapat mengemukakan penyata hutang mereka.

“Sampai ke tua saya dibelenggu dengan masalah hutang. Jika betul hutang sudah dihapuskan, kami bersyukur,” jelasnya.

Sebelum ini, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muh­yiddin Yassin tidak melaksanakan janji untuk melupuskan hutang peneroka seperti yang diumumnya pada 2021.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh kesal dengan dakwaan itu menegaskan, pelupusan hutang sudah dilaksanakan ketika beliau masih menjawat jawatan Perdana Menteri dan disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen pada 2021.

Selepas itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menyangkal dakwaan Muhyiddin itu, dengan menyifatkan beliau baru sahaja menandatangani kelulusan pelupusan hutang Felda pada akhir bulan lalu.

 

Author

Pilihan Editor