HomeBeritaPeniaga pun tak tahu bekalan ais selamat atau tidak

Peniaga pun tak tahu bekalan ais selamat atau tidak

KUANTAN: Kebanyakan pemilik gerai dan kedai makan tidak kisah sama ada ais kiub yang digunakan mereka adalah daripada kilang yang sah atau pun dari kilang haram.

Kebanyakan peniaga menyatakan mereka menganggap ais kiub yang dibekalkan kepada mereka adalah selamat kerana pembekal tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa dan masih terus berniaga.

Ada peniaga menyatakan mereka sudah tentu akan membeli ais kiub daripada
pembekal yang menawarkan ais kiub dengan harga yang lebih murah.

Seorang peniaga kedai makan, Diana Surya Abd. Wahab, 39, berkata, dia tiada pilihan dan hanya membeli ais daripada pembekal yang telah lama mereka berurusan.

Katanya, kebiasaannya pembekal ais kiub telah membahagikan kawasan mereka di daerah ini menyebabkan peniaga di situ hanya mengambil daripada satu pembekal sahaja.

“Setakat ini harga dalam RM4 sebungkus dan kalau ambil ba­nyak akan diberikan kurang lagi, saya membeli dari pembekal yang sudah biasa dan mudah, kalau habis boleh pesan bila-bila masa sahaja mereka hantar.

“Ais kiub daripada mana sama ada kilang haram atau tidak saya tidak pasti ke­rana sepatutnya pihak berkuasa yang harus memeriksa kerana tugas mereka, saya anggap kilang ais ini sudah tentu tidak bermasalah sebab sudah lama boleh beroperasi,” katanya di sini semalam.

Tambah Diana, dia sememang­nya berharap ais kiub yang digunakan bersih kerana jika ia tercemar sudah tentu memberikan risiko dan jejaskan kedainya.

Dalam pada itu seorang penjual air balang dikenali sebagai Alif berkata, dia telah beberapa kali menukar pembekal ais batu berdasarkan tawaran harga yang lebih murah.

Katanya, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar sudah tentu sebagai peniaga dia perlu mengurangkan kos dan membeli ais batu yang lebih murah.

“Bukan semua air yang saya jual habis dan saya perlu terus berniaga untuk hidup, soal ais kilang haram atau tidak itu tugas Jabatan Kesihatan,” ujarnya. – KOSMO

Authors

Pilihan Editor