GOMBAK: Perikatan Nasional (PN) memainkan isu ‘Islam terancam’ jika Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Oleh sebab itu, Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, ramai anak muda dan selebriti Melayu terpengaruh kerana khuatir agama tersebut akan tergugat di negara ini.
“Siapa nak biarkan Islam terancam walaupun ada yang jarang solat dan tidak terlalu mengamalkan ajaran Islam?
“Tetapi bila dapat tahu Islam akan terancam, mereka akan membela. Ini sikap Melayu,” katanya ketika Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Kerajaan Perpaduan DUN Hulu Kelang di sini pada Rabu.
Turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan beberapa kepimpinan PH dan BN.
Mohamad Sabu berkata, antara tuduhan paling besar dibuat PN adalah Malaysia akan dikuasai Israel manakala golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) akan dibenarkan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.
Jika pemimpin UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri pula, katanya, PN akan membuat tuduhan bahawa lelaki dan perempuan boleh berkahwin sesama jenis.
“Kalau PH menang, mereka akan mendakwa kononnya pelajar perempuan Islam akan diarahkan memakai skirt. Ini yang membuatkan orang ramai marah. Orang akan berfikir, inikah corak pemerintahan DAP (parti komponen PH)?
“Dakwaan inilah menyebabkan mereka yang hebat kalah pada PRU15 termasuk Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Mahfuz Omar.
“Tetapi setakat lapan bulan kerajaan sekarang memerintah, ada tak LGBT diizinkan? Ada tak KPM (Kementerian Pendidikan) bagi arahan kepada pelajar Melayu pakai skirt semula?” soalnya.