BAYAN LEPAS: Polis sedang mengesan dua lelaki kerana disyaki menyerang anjing yang terjatuh dalam longkang di Kampung Teluk Tempoyak, di sini, semalam.
Ia susulan video tular memaparkan dua suspek terbabit menyerang sesuatu dipercayai anjing, dalam semak pada waktu malam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya mengesan video berkenaan pada 6 petang semalam, yang disiarkan di media sosial.
Video itu dimuat naik dengan keterangan, ‘Tidak cukup dilanggar motosikal, anjing tidak berdosa diseksa dua lelaki durjana sampai mati,.
“Menerusi video itu, dilihat dua lelaki sedang menyerang sesuatu menggunakan kayu di kawasan semak.
“Saksi kemudian membuat laporan polis bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Kamarul Rizal berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku 8.38 malam, Sabtu lalu.
Saksi mendakwa melihat dua suspek lelaki tempatan yang tidak dikenali, dipercayai tinggal berdekatan dengan tempat kejadian.
“Suspek menyerang anjing yang terjatuh dalam longkang di tepi jalan dan saksi bertindak merakam perbuatan dua lelaki itu menerusi telefon bimbit miliknya.
“Saksi kemudian menghantar video itu kepada rakan di Petaling Jaya, Selangor sebelum ia ditular rakannya menerusi Twitter @syhmiee,” jelasnya.
Kamarul Rizal berkata, usaha bagi mengesan suspek masih diteruskan dan kertas siasatan berhubung kejadian juga sudah dibuka.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.