KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan sesi libat urus dengan hampir semua penyedia platform media sosial termasuk Telegram dan Meta sebagai usaha membendung jenayah dalam talian dan isu 3R (kaum, agama dan raja) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos depan.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, sesi libat urus berkenaan bagi memastikan semua penyedia platform media sosial memahami undang-undang yang berkuat kuasa dalam negara.
“Ini adalah sebahagian daripada sesi libat urus biasa bersama kementerian serta Telegram, Meta dan hampir semua pengendali platform media sosial.
“Dari segi penguatkuasaan berhubung isu 3R, kita serahkan kepada polis untuk mengambil apa sahaja tindakan yang perlu,” katanya seperti dilapor Astro Awani hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan “Horizon” di sini pada Isnin.
‘Horizon’ merupakan platform penerbitan ekonomi digital yang diterbitkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai rujukan kepada pemegang taruh ekonomi digital tempatan dan antarabangsa.
Penerbitan ekonomi digital itu juga akan memberi fokus terhadap input dam trend pertumbuhan sektor ekonomi digital Malaysia, sekali gus mampu menarik minat para pelabur.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata siasatan terhadap sebarang isu termasuk 3R dilakukan tanpa rasa takut dan pilih kasih.
“Sebagai contoh, laporan polis telah dibuat sama ada mengenai kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng atau Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Polis akan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih dan sesiapa sahaja yang mungkin berpotensi melanggar (undang-undang dalam negara). Apa sahaja undang-undang dalam negara yang ada, maka siasatan akan dilakukan,” tambahnya.
Terdahulu media melaporkan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sebanyak 23 laporan dibuat terhadap Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R.
Ujarnya, siasatan terhadap kes itu dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G S Suresh Kumar turut mengesahkan satu siasatan ke atas Abdul Hadi yang juga Presiden Pas sedang dijalankan