PADANG TERAP: Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini dilihat mampu menyebabkan berlaku ‘pecah undi’ termasuk jika mereka meletakkan calon di Kedah.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keadaan itu akan menimbulkan pelbagai persepsi kepada pengundi berikutan mereka mempunyai banyak pilihan apabila berlaku pertandingan lebih daripada dua penjuru.
“Macam-macam persepsi (timbul) bila lebih daripada dua (penjuru), sampai ke peringkat pelbagai corak dan gambaran yang boleh diberikan dengan apa yang akan berlaku apabila lebih daripada dua penjuru.
“Bagaimanapun di Kedah kita tidak pasti lagi sama ada mereka akan bertanding atau tidak, setakat ini mereka baru umumkan bertanding di Selangor,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Agihan Bakul Makanan Puteri UMNO Kedah di Pusat Komuniti Padang Kerasak, di sini.
Bagaimanapun, Mahdzir menegaskan pihaknya bersikap terbuka sekiranya MUDA mahu bertanding di Kedah selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.
Semalam MUDA mengumumkan empat calon untuk kumpulan pertama bagi menghadapi PRN di Selangor, 12 Ogos ini antaranya Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd. Hadi (DUN Seri Serdang); Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen (Batu Tiga): R. Thanusha (Sentosa) dan Melanie Ting (Bukit Antarabangsa)