HomeBeritaPRN: Polis kenal pasti 'kumpulan nakal' penyokong parti politik

PRN: Polis kenal pasti ‘kumpulan nakal’ penyokong parti politik

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan pantas terhadap insiden tidak diingini sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), melalui maklumat disalurkan terus ke bilik gerakan Op Room Cantas di Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kontinjen di enam negeri terbabit PRN akan menyalurkan maklumat pemantuan di lapangan serta visual dari rakaman dron secara ‘real time’ atau masa sebenar.

Katanya, bilik gerakan Op Room Cantas akan berfungsi sebagai tempat pengumpulan maklumat berkaitan provokasi yang cuba dicetuskan mana-mana pihak atau kenyataan yang menyentuh isu berkait Raja, kaum dan agama (3R).

“Bilik gerakan ini ada rangkaian hubungan terus dengan enam kontinjen polis negeri, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah. Setiap laporan dan maklumat insiden akan disalurkan terus ke Op Room Cantas ini untuk tindakan sewajarnya,” katanya lapor Berita Harian.

Bercakap pada sidang media di Bukit Aman hari ini, Razarudin berkata, Op Room Cantas turut menerima visual dron yang diterbangkan Unit Dron PDRM untuk memantau perjalanan PRN di enam negeri itu.

“Visual diperoleh akan terus disalurkan ke Op Room Cantas, bukan sahaja disalurkan secara ‘real time’, malah sekiranya ada sebarang insiden, ia akan direkodkan sebelum tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Sementara itu katanya, PDRM sudah mengenal pasti beberapa kumpulan penyokong parti dianggap ‘kumpulan nakal’ yang dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan sepanjang kempen PRN.

“Pasukan Op Cantas akan mengambil tindakan segera jika mereka cuba mencetuskan provokasi dan kekecohan. Sebanyak 82 pasukan Op Cantas Bukit Aman akan turut bergerak di lapangan sepanjang musim berkempen, termasuk memantau program ceramah oleh calon.

“Op Cantas di Kelantan sudah dimulakan sejak pertengahan Mei lalu, manakala di lima lagi negeri dimulakan sejak 29 Jun. Sejak itu, polis sudah menahan lebih 400 pesalah membabitkan beberapa kesalahan, antaranya bergaduh dan merusuh,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, setiap kontinjen polis negeri dan daerah turut mempunyai pasukan Op Cantas dengan lebih 200 pasukan bertugas di lapangan sepanjang musim PRN ini.

Author

Pilihan Editor