HomeBeritaProgram Menu Sihat Perpaduan libatkan Tabika Perpaduan, Taska Genius Perpaduan seluruh negara

Program Menu Sihat Perpaduan libatkan Tabika Perpaduan, Taska Genius Perpaduan seluruh negara

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah mengadakan program Menu Sihat Perpaduan secara serentak di semua Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan seluruh negara.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini berkata, program itu melibatkan 1,781 Tabika Perpaduan dengan jumlah murid seramai 36,874 orang dan 41 Taska Genius Perpaduan dengan murid seramai 980 orang.

“Tujuannya untuk meningkatkan pengetahuan serta kefahaman kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat mengenai kepentingan pengamalan menu sihat dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat mengenai penyediaan menu sihat yang bernutrisi serta pengamalan gaya hidup dan budaya pemakanan sihat,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, program ini memberi pengisian untuk memastikan amalan pemakanan sihat dapat diterapkan kepada kanak-kanak bagi mengurangkan empat kesan malnutrisi di kalangan kanak-kanak.

Antaranya, kurang berat badan, terbantut, tersusut dan berat badan berlebihan atau obesiti.

Dalam pada itu, Kementerian Perpaduan Negara mengharapkan program ini dapat dijadikan sebagai pemangkin kepada peningkatan kualiti dan pengamalan pengambilan makanan yang sihat harus dipupuk dari rumah sejak peringkat awal usia kanak-kanak.

“Hal ini penting sebagai dorongan kepada kanak-kanak menjalani kehidupan secara seimbang dan seterusnya memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai amalan gaya hidup sihat serta pengetahuan pemilihan makanan seimbang,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor