AMPANG JAYA: Anak mangsa nahas motosikal Ducati di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berasa sedih berbaur marah sewaktu melihat tertuduh yang didakwa menyebabkan kematian bapanya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 36, berkata, tiada perkataan yang dapat digambarkan sebaik melihat lelaki tersebut ketika berada di kandang tertuduh.
“Saya berasa sedih dan marah, bila saya tengok muka dia (tertuduh), saya betul-betul rasa marah sebab kehilangan seorang ayah,” katanya selepas prosiding hari ini, lapor Kosmo.
Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, hanya Allah sahaja yang tahu akan perasaannya yang kehilangan orang yang paling rapat dalam hidupnya.
“(Hubungan) Ayah dengan saya memang rapat. Kami selalu ‘ride’ dan pergi surau sama-sama, bila dia tidak ada saya betul-betul rasa kehilangan,” katanya lagi.
Sementara itu, ketika ditanya sebab dia memilih untuk hadir ke prosiding mahkamah kes itu, Muhammad Hafidz berkata, dia mahu mengetahui apa saja perkembangan tertuduh.
Pada masa sama, Muhammad Hafidz turut meluahkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan bapanya selain berikrar akan hadir ke mahkamah pada setiap kali prosiding kes itu berlangsung.
Terdahulu, Mahkamah Majistret mengarahkan lelaki yang tular menunggang motosikal secara melawan arus hingga mengakibatkan penunggang motosikal Ducati di Lebuh Raya SUKE menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.
Majistret Amalina Basirah Md Top memerintahkan demikian terhadap Mudzyadaha Mohammad, 42, selepas tertuduh mengaku tidak bersalah ke aats pertuduhan yang dibacakan selain membenarkan permohonan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Izleen Ismail.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.