CYBERJAYA: Baru-baru ini, tular di media sosial gambar sekumpulan penghantar makanan berkerumun di hadapan rumah seorang peniaga di tingkat 15 di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.
Difahamkan, kesemua penghantar makanan itu datang untuk mengambil pesanan makanan pelanggan iaitu Ayam Kipuk Viral.
Malah, keadaan menjadi lebih haru apabila segelintir penghantar makanan mengeluh jika lif rosak mereka terpaksa menaiki tangga sehingga ke tingkat 15.
“Dasyat, tingkat 15 buat kedai jual nasi ayam gepuk, rider collect order, kena lift rosak rider rela naik tangga order banyak masuk,” tulis seorang netizen di Grup Facebook B40 Buat Perangai Apa Harini.
Dek kerana isu terbabit, pengusaha Ayam Kipuk Viral, Mawaddah Abu Bakar tampil memberi penjelasan berhubung perniagaannya itu.
Menurutnya, flat yang didudukinya itu menyediakan tiga kemudahan lif dan tidak pernah mengalami kerosakan sebelum ini.
Jelasnya lagi, dia mendaftarkan perniagaannya sebagai homechef iaitu peniaga makanan dari rumah dalam aplikasi p-hailing.
“Saya register dengan Grabfood dan Foodpanda under homechef, bukan under kedai. Saya tak jual di rumah kalau orang nak beli, bila orang lain buat homebased jual roti dan kek, saya cuba lah nasib jual nasi,” katanya.
Tambah Mawaddah, niatnya memulakan perniagaan ini adalah untuk menyara keluarga termasuk ahli keluarga yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Berdasarkan carian di Grabfood, Ayam Kipuk Viral yang beroperasi di Taman Danau Kota itu menggabungkan nama kicap dan gepuk dan menawarkan seleksi hidangan makanan yang terdiri daripada ayam gepuk dan ayam kicap.