HomeBeritaSanusi maklumkan semua Exco Kedah dipanggil SPRM

Sanusi maklumkan semua Exco Kedah dipanggil SPRM

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan kesemua Exco kerajaan negeri dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung isu yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa itu.

Menurutnya, terdapat dalam kalangan mereka sudah selesai memberi keterangan, manakala sebahagian yang lain dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.

“Saya hairan, tak pernah lagi Exco dipanggil setiap seorang untuk sahkan minit mesyuarat. Ada yang dah bagi keterangan dan sebahagian lagi belum. Saya difahamkan semua akan beri keterangan di Alor Setar dan ada antara mereka dipanggil hari ini selebihnya mungkin esok.

“Setakat ini saya belum dipanggil. Mungkin saya akan dipanggil selepas itulah kot,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan Muhammad Sanusi juga akan dipanggil untuk dirakam percakapan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) setelah terdapat surat ditandatangani beliau seperti ditularkan di media sosial, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi menjelaskan, dakwaannya mengenai plot yang dikatakan diatur untuk mengenakan dirinya sejak enam bulan lalu bukan ditujukan kepada mana-mana pihak berkuasa terutamanya polis.

“Saya bukan maksudkan polis, yang perasan itu kenapa? Saya tak mahu gaduh dengan kakitangan awam kerana semua kakitangan awam adalah rakan saya. Mereka bekerja atas arahan, ikut bidang kuasa masing-masing. Jangan ikut arahan elit politik demi kepentingan politik kerana itu bahaya untuk negara serta profesion mereka,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau memaksudkan bahawa plot itu dibuat oleh mereka yang berada dalam Kerajaan Perpaduan, Muhammad Sanusi memulangkan semula persoalan itu kepada semua pihak untuk membuat kesimpulan sendiri.

“Buatlah kesimpulan sendiri (siapa rancang komplot). Siapa dapat untung, dialah yang rancang,” katanya.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi mendakwa, kejadian letupan melibatkan sebuah kabin kontena yang dijadikan stor di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon pada Oktober tahun lalu juga merupakan sebahagian daripada komplot tersebut.

“Kejadian stor dibom itu adalah sebahagian daripada komplot ini. Kemudian kerajaan bertukar dan saya dihalang menghadiri Majlis-Majlis Mesyuarat Kerajaan Persekutuan tetapi disebabkan saya pandai serta riuh, terpaksalah saya dibenarkan hadir.

“Sekarang mereka bersama (pihak membuat letupan dan pihak berkomplot). Saya nak jawab kepada polis sekejap lagi kerana katanya ada pihak polis mahu ambil keterangan. Tumpuan kepada saya berlebihan dan sebab itu orang kesian kepada saya,” katanya. – UTUSAN

Authors

Pilihan Editor