CYBERJAYA: Kerajaan disaran untuk menyelesaikan isu kemiskinan pendidikan terlebih dahulu sebelum memfokuskan pendidikan berkualiti, kata Dr Anuar Ahmad.
Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad membangkitkan perkara tersebut apabila mendapati masih ramai murid-murid yang tercicir dalam pendidikan, seterusnya menyebabkan mereka bakal berdepan masalah untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup.
Anuar berkata, keciciran pendidikan itu termasuk murid tidak mendapat akses dalam bidang itu, tidak dapat menamatkan zaman persekolahan, belajar di dalam kelas yang mempunyai terlalu ramai murid, tidak dinilai secara baik serta ada sekolah yang tidak memiliki bilangan guru yang cukup.
“Sebab itu apabila kita kerap bercakap mengenai pendidikan berkualiti, guru berkualiti, silibus berkualiti, infrastruktur bertaraf dunia, kadang-kadang bunyinya sedap tapi sebenarnya kita masih dalam kelompok atau ruang berhadapan dengan isu kemiskinan pendidikan.
“Fokus kita bukan mengenai kualiti pendidikan tetapi akses pendidikan. Jika akses pendidikan telah selesai dan semua murid telah dapat apa yang mereka patut peroleh barulah kita bercakap tentang kualiti pendidikan.
“Jika tidak, jurang pendidikan semakin merebak antara satu kumpulan murid dengan satu kumpulan murid yang lain,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebook.
Mengimbau kembali Laporan Keciciran atau Laporan Murad yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada 1972, Anuar berkata, ia membincangkan tentang keciciran pendidikan pada tahun 70an yang dilihat sebagai perkara serius.
Dalam laporan sama, katanya, semua masyarakat terutamanya kerajaan membuka mata selepas mendapati antara punca peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 adalah wujud jurang ekonomi antara kaum, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.
Tambahnya, antara sebab ada kaum atau kumpulan dalam masyarakat mempunyai pendapatan rendah adalah disebabkan mereka tidak mendapat pendidikan yang lengkap dan sempurna, manakala sebahagian besar daripadanya keciciran pendidikan atau langsung tidak bersekolah.
“Jadi, mereka didapati tidak mempunyai pendapatan yang baik sehingga mereka ketinggalan dalam ekonomi yang berpunca daripada keciciran pendidikan.
“Dan kita harus mempelajari sejarah bagaimana kepimpinan KPM pada waktu itu cuba menyelesaikan isu keciciran dan sebahagian besarnya adalah isu hampir sama berlaku pada hari ini,” jelasnya.