KOTA BHARU: Seekor lembu yang terperangkap di dalam parit berlumpur berjaya diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu dalam kejadian di Kampung Pauh, Badang di sini pada Jumaat.
Lembu seberat 160 kilogram itu terlekat di dalam lumpur terbabit lebih 10 jam berjaya dibawa keluar pada jam 9.39 pagi.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi daerah, Leftenan Mohd Safiyan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.07 pagi.
“Seramai lima anggota telah dikerah ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut beliau, APM Kota Bharu mengambil masa selama 27 minit untuk mengeluarkan haiwan ternakan itu dengan menggunakan jentolak.
Ujarnya, hasil bantuan orang awam lembu terbabit berjaya dibawa naik ke darat dan selamat diserahkan kepada pemiliknya.