WASHINGTON: Lebih 10 juta orang telah mendaftar ke Threads, saingan Meta kepada Twitter, dalam beberapa jam pertama pelancarannya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg hari ini.
Threads merupakan pencabar terbesar kepada Twitter milik Elon Musk, yang telah menyaksikan beberapa siri pesaing berpotensi muncul tetapi belum dapat menggantikan salah satu syarikat media sosial yang paling ikonik, walaupun ia menghadapi kesukaran yang besar.
Aplikasi Threads dilancarkan di Apple Store dan Play Store Android di 100 negara pada 2300 GMT pada Rabu, dan akan disiarkan tanpa iklan buat masa ini.
“10 juta pendaftaran dalam masa tujuh jam,” tulis Zuckerberg di akaun Threads rasminya pada Khamis.
Akaun sudah tersedia aktif untuk selebriti seperti Jennifer Lopez, Shakira dan Hugh Jackman, serta saluran media termasuk The Washington Post dan The Economist.
Zuckerberg menghabiskan beberapa jam pertama pelancaran platform membalas komen kepada pengguna baharu.
“Seperkara yang meningkat ialah jumlah petarung MMA bertaraf juara dunia di Threads, terutamanya bila anda berada di sini!” dia menulis jawapan kepada petarung MMA Amerika, Jon Jones.
“Pusingan pertama ini bermula dengan baik,” katanya lagi.
Dalam tweet pertamanya dalam lebih sedekad, Zuckerberg membuat ciapan meme Spiderman menunjuk pada Spiderman, rujukan jelas mengenai persamaan kedua-dua platform.
Di Threads, dia menulis: “Ia akan mengambil sedikit masa, tetapi saya fikir perlu ada aplikasi perbualan awam dengan 1 bilion+ orang di dalamnya. Twitter mempunyai peluang untuk melakukan ini tetapi tidak berjaya melakukannya. Mudah-mudahan kita akan melakukannya.”