KOTA BHARU: Tiga beradik berusia antara 19 hingga 36 tahun ditahan dalam satu operasi pada Isnin kerana disyaki menyamun beberapa kedai telefon bimbit di daerah ini.
Dua daripada tiga beradik itu ditahan di tepi Jalan Kampung Sri Kulim, Melor di sini, 8.15 malam manakala seorang lagi di hadapan sebuah kedai telefon bimbit di Melor, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek mempunyai modus operandi yang sama iaitu memasuki kedai dengan bersenjatakan sebilah kapak dan pisau lalu mengacukan ke arah pekerja kedai.
“Ketiga-tiga kejadian mempunyai modus operandi sama iaitu suspek masuk ke kedai dengan bersenjatakan sebilah kapak dan pisau, lalu mengacukan ke arah pekerja sebelum mengambil wang tunai serta telefon bimbit.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, satu operasi mengesan dan menangkap suspek dijalankan sebelum polis berjaya menahan tiga beradik itu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, pada 15 Julai hingga kelmarin, IPD Kota Bharu menerima tiga laporan berhubung kejadian samun kedai telefon yang berlaku di sekitar daerah ini.
Beliau berkata, hasil semakan, dua daripadanya mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah. Hasil ujian saringan awal mendapati dua daripada tiga suspek, positif dadah.
“Turut dirampas, sebilah kapak, telefon bimbit dan topi keledar. Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun berkumpulan di sekitar daerah ini.
“Mereka direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.