HomeBeritaTiga ditemui maut dalam MPV di RnR Yong Peng

Tiga ditemui maut dalam MPV di RnR Yong Peng

YONG PENG: Tiga warga Myanmar ditemui mati dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Yong Peng, arah Selatan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dua lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 27 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam dalam Perodua Alza.

Difahamkan, orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba membantu dengan memecahkan cermin hingga berjaya mengeluarkan ketiga-tiga mangsa.

Bagaimanapun, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian sebaik menerima panggilan mengesahkan ketiga-tiganya sudah meninggal dunia.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Penguasa Bomba Kanan II Suhairulair Sarip, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.59 malam.

Katanya, seramai enam anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

“Sebaik tiba, kami mendapati ketiga-tiga mangsa sudah dikeluarkan orang awam yang kebetulan berada di lokasi.

“Semua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, setakat ini siasatan awal mendapati kematian tiga warga Myanmar itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menunggu laporan bedah siasat.

“Setakat ini polis buka kertas siasatan sebagai mati mengejut, namun semuanya bergantung kepada laporan bedah siasat yang akan diperoleh kelak.

“Siasatan awal juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemukan pada ketiga-tiga mangsa di lokasi kejadian,” katanya seperti dilapor Berita Harian, di sini hari ini.

Shahrulanuar berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kesemua mereka dalam perjalanan ke Pasir Gudang.

“Rekod yang diperoleh mendapati mereka mempunyai pasport dan bekerja di Pasir Gudang,” katanya.

Authors

Pilihan Editor