CHUKAI: Satu lagi mayat bencana kepala air di Jeram Air Putih di sini ditemui pagi ini.
Mayat dipercayai remaja perempuan itu ditemui di belakang Masjid Dadong di sini, kira-kira jam 7.45 pagi.
Ini sekali gus menjadikan keseluruhan mangsa ditemui setakat ini tujuh orang dengan tiga lagi mangsa masih hilang.
Identiti itu belum disahkan secara rasmi kerana pengecaman mayat belum dibuat oleh waris dan belum disahkan oleh pihak berkuasa.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Terengganu), Azman Alias berkata, mayat seterusnya bawa ke Pusat Kawalan Operasi SAR Balai Polis Air Putih.
Beliau berkata, pasukan pencarian berjaya mengesan seorang lagi mangsa dalam operasi yang memasuki hari ketiga.
“Usaha menjejaki tiga lagi mangsa giat dijalankan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Kelmarin, seorang wanita dan anak lelakinya ditemukan lemas.
Mayat pertama, Azizah Eiyi,40, ditemui kira-kira jam 12.45 tengah hari kelmarin diikuti mayat Muhammad Zulqarnain Haikal Karim,11, ditemui tersangkut kira-kira jam 3 petang hari yang sama.
Mayat empat lagi mangsa iaitu Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, dan bapa mereka, Karim Abdullah,39, ditemukan semalam.