HomeBeritaTragedi kepala air: Jenazah tujuh beranak selamat dikebumikan

Tragedi kepala air: Jenazah tujuh beranak selamat dikebumikan

KUANTAN: Jenazah tujuh beranak yang terbabit dalam tragedi fenomena kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu, pada Ahad selamat dikebumikan di Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, di sini tengah malam Selasa.

Jenazah pasangan suami isteri, Karim Abdullah, 39, dan Azizah Eiyi, 40, serta lima anaknya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 11.52 malam.

Lima lagi anak pasangan itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Sebelum itu, kesemua jenazah disembahyangkan di Masjid Ubbudiah, Felda Lepar Hilir 3 yang diimamkan Imam masjid, Ibrahim Mat Noor bersama-sama kira-kira 100 jemaah.

Tujuh van jenazah yang membawa kesemua jenazah secara berasingan itu bertolak dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, kira-kira jam 6.25 petang.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi upacara pengebumian apabila kira-kira 200 ahli keluarga dan kenalan yang hadir kelihatan sebak sewaktu diberikan peluang terakhir untuk menatap wajah jenazah sebelum dikebumikan.

Pada Ahad lalu, 10 individu termasuk sembilan sekeluarga dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Air Putih pada petang Sabtu.

Setakat petang Selasa, mayat kelapan yang dikenal pasti sebagai Putri Alleya Maisarah, ditemui kira-kira jam 3 petang di kawasan beting jeram terbabit.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat kelapan itu ditemui berhampiran mangsa kedua yang ditemui kelmarin.

Dua lagi mangsa belum ditemukan ialah Putri Nor Fatin, 14 dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24.

Susulan tragedi kepala air ini kerajaan Terengganu telah menutup sementara kawasan perkelahan di Jeram Mawar, Air Putih tersebut bermula Isnin bagi memastikan tragedi sama tidak berulang dalam masa terdekat. – Sinar Harian

Author

Pilihan Editor