MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kerajaan ketika ini seolah-olah ketakutan dan bankrap, susulan kes pertuduhan yang dihadapinya pada Selasa.
Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pertuduhan itu sekali gus menjejaskan peluang beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
“Tujuan mereka adalah untuk menjejaskan saya dalam PRN. Saya yakin dengan pendakwaan ini rakyat Malaysia memahami tujuan mereka dan hasrat sebenar mereka.
“Nampaknya di Malaysia ini tidak boleh cakap apa-apa. Kalau di medan politik biasanya orang selesaikan masalah politik di medan politik, kita beri hujah balas kerana ada orang yang takut di Malaysia ini,” katanya pada sidang media di Mahkamah Selayang, dekat Batu Caves, Selangor pada Selasa.
Jelas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jeneri itu, beliau memberi kerjasama yang baik ketika ditahan di kediamannya di Kuala Lumpur pada 3 pagi Selasa.
“Selepas tangkapan itu ada siasatan kes lagi berkaitan dengan satu lagi ucapan saya di tempat lain.
“Saya harap PRN akan datang ini PN akan menang di enam negeri,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, beliau hanya mengetahui pentuduhan terhadapnya melalui laporan media tetapi tiada sebarang notis diberikan.
“Saya sememangnya mahu hadir ke mahkamah pagi ini tetapi mereka tetap datang buat tangkapan pukul 3 pagi di kediaman saya di Kuala Lumpur.
“Saya beri kerjasama yang baik untuk hadir,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.
Muhammad Sanusi, 49, tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa melakukan perbuatan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja dan mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, di Selayang, pada pukul 11 malam 11 Julai lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan dua Timbalan Pendakwa Raya Datuk Manoj Kurup serta Datuk Masri Mohd Daud manakala Muhammad Sanusi diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.
Ahmad Terrirudin menawarkan wang jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 terhadap Muhammad Sanusi dan memohon perintah larangan bersuara kepada Muhammad Sanusi untuk tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai kes ini sehingga selesai.