SHAH ALAM – Ramai dalam kalangan kenamaan Melayu didakwa berada dalam ketakutan kerana bimbang akan dikenakan tindakan termasuk saman dan pendakwaan di mahkamah.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, golongan berkenaan bimbang jika ada orang tertentu akan melaporkan kepada polis dan berdepan siasatan.
“Mereka tidak senang dengan prestasi kerajaan sekarang. Banyaklah sebab kerana berpendapat kerajaan sekarang tidak baik. Mereka menyatakan ini apabila ditemui.
“Tetapi mereka enggan menyertai sebarang gerakan yang memiliki pendapat yang sama. Ini kerana mereka takut jika dikenal pasti oleh kerajaan dan tindakan akan diambil terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dr Mahathir turut mendakwa, ada antara kenamaan itu yang takut jawatan mereka ditukar kepada lebih rendah atau dilucut terus.
Malah katanya, ada yang takut kontrak mereka ditarik balik atau diganggu.
“Ada ugutan untuk hantar kereta polis ke hadapan rumah mereka dan takut akan dimasukkan ke dalam tahanan polis.
“Tidak ada caj (pendakwaan) tetapi jika masuk dalam tahanan walaupun hanya beberapa hari sahaja, tekanan jiwa amat teruk,” dakwanya.
Negarawan itu juga mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘mengugut’ untuk mendedahkan kertas siasatan oleh polis berkenaan menteri-menteri UMNO yang lama juga adalah satu salah guna kuasa.
Tegasnya, pendedahan itu sepatutnya melibatkan semua pihak, termasuk menteri pada masa sekarang.
“Saya tahu ada kertas siasatan terhadap Anwar sendiri, walaupun tidak melihatnya. Polis bagi tahu semasa saya Perdana Menteri.
“Undang-undang dibuat untuk semua orang, bukan untuk parti lawan sahaja. Apakah ugutan dan tindakan seperti ini diizin oleh demokrasi?
“Siasatan oleh polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) perlu dilakukan, tetapi bukan untuk ugutan politik. Jika benar ada jenayah, tindakan undang-undang hendaklah diambil. Amatlah tidak bertanggungjawab jika diguna untuk politik parti,” jelasnya. – SINAR HARIAN