HomeBeritaTunggang motosikal cara berbahaya, seorang maut, lima parah nahas di LEKAS

Tunggang motosikal cara berbahaya, seorang maut, lima parah nahas di LEKAS

AKSI sekumpulan remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya membawa padah, apabila terlibat dalam nahas di Kilometer (KM) 26.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada Isnin malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superitendan Mat Ghani Late berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki maut, manakala lima lagi parah dan empat cedera ringan dalam kemalangan 10 buah motosikal.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa semua penunggang terlibat bergerak dari arah Nilai menuju ke Seremban.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.

“Seorang penunggang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penunggang parah dan empat penunggang lain mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut.

“Mangsa yang maut turut dihantar ke hospital sama bagi proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pengawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Zarina Ariffin di talian 013-8238336,” katanya.

Sebelum ini, video sekumpulan remaja menunggang motosikal dengan aksi berbahaya tular di media sosial.

Author

Pilihan Editor