PERBUATAN menularkan video titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang disunting untuk tujuan politik kepartian adalah tidak beretika dan mencemarkan nama baik institusi diraja.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, video tersebut memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin, yang ketika itu Pemangku Raja Perak di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menerusi wacana yang diadakan pada 19 Februari 2013 itu, Mohd Zahidi berkata, Sultan Nazrin menzahirkan analisis dua buah parti terbesar Melayu, iaitu UMNO dan PAS yang merupakan dua kuasa politik Melayu dominan ketika itu.
“Baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap PAS tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO.
“Bahagian yang memuji PAS hanyalah petikan pendek, begitu juga pujian terhadap UMNO. Untuk itu, tidak timbul bahawa baginda hanya memandang tinggi mengenai PAS.
“Adalah dipercayai ada pihak yang memilih untuk memetik titah Sultan Nazrin pada 2013 untuk ditularkan semula, dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong PAS dalam suasana menjelang Pilihan Raya di enam negeri pada 12 Ogos 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Lantaran itu, Mohd Zahidi berkata, Pejabat Sultan Perak sudah pun membuat laporan polis pada 29 Julai 2023, bertujuan melindungi nama baik baginda daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk meraih laba politik.
“Sultan Nazrin tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberi sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik.
“Oleh itu, penularan video berkaitan wajib dihentikan,” katanya.
Pada Ahad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor mengesahkan sudah menerima laporan pada jam 6.30 petang Sabtu dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.
Semakan mendapati, wanita yang cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap PAS dalam klip video berkenaan ialah seorang pemimpin Muslimat PAS Melaka.
Wanita tersebut mengambil petikan video yang sebelum ini pernah dimuat naik di Facebook Dewan Muslimat PAS Melaka pada 11 November 2022.