HomeBeritaZamsaham, henti ‘berpolitik’ bayar hutang saya – Nita Sahari

Zamsaham, henti ‘berpolitik’ bayar hutang saya – Nita Sahari

JOHOR BAHRU: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham diminta untuk henti ‘berpolitik’ dengan memberi pelbagai alasan bagi terus mengingkari keputusan mahkamah.

Pengarah Nita Sahari Properties Sdn. Bhd., Nita Sahari berkata, sehingga ini, Zamsaham masih belum membuat sebarang pembayaran berjumlah keseluruhan RM249,675.60, sejak lebih dua bulan lalu.

Katanya, pada 8 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru telah memerintahkan agar Zamsaham melangsaikan tuntutan berkenaan dengan segera.

“Tuntutan itu melibatkan wang yang saya telah laburkan sebelum ini, dimana wang itu dimasukkan dalam satu akaun milik syarikat Uncle Zam Holdings, sepatutnya wang itu juga tidak boleh dikeluarkan untuk apa-apa tujuan.

“Jadi apabila dia (Zamsaham) masih memberikan pelbagai alasan tetapi tidak juga membayarnya, saya khuatir dimana wang berkenaan ketika ini, adakah ianya sudah digunakan bagi tujuan lain,” soalnya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Nita membuat kenyataan itu sebagai membalas kenyataan dibuat Zamsaham dalam satu sidang akhbar yang turut disiarkan secara langsung dalam satu akaun Facebook, semalam.

Zamsaham dilaporkan berkata, pihaknya bersetuju untuk melunaskan tuntutan berjumlah RM249,675.60 namun meminta Nita untuk bersabar.

“Kita dah setuju bayar RM250,000, jadi kita akan bayar, bila dah bayar kes tutup. (Tetapi) bila nak bayar, sabarlah, kan kita sedang berniaga, orang berniaga ada turun dan naik. Nanti bila masa dah selesai, kita selesaikanlah, yang penting saya tidak lari,” katanya.

Pada April 2021, Nita bersetuju membuat pelaburan berjumlah RM999,675.60 ke dalam syarikat Uncle Zam Holdings milik Zamsaham, namun menarik diri selepas beberapa bulan kerana syarat pelaburan tidak dipatuhi.

Pembayaran sebanyak RM750,000 telah dibuat bagaimanapun baki sebanyak RM249,675.60 masih gagal diselesaikan menyebabkan Nita membawa tuntutan itu ke mahkamah.

Sehubungan itu, Nita meminta Zamsaham untuk melangsaikan pembayaran hutang dengan segera atau tindakan susulan akan diambil mengikut lunas undang-undang.

“Saya dan peguam saya akan ambil tindakan susulan, namun dalam masa sama saya juga berasa bimbang sebarang tindakan akan beri kesan kepada pelabur-pelabur lain.

“Zamsaham, jangan cakap tak serupa bikin, jangan kelirukan orang lain lagi dan segera bayar hutang saya,” tegasnya. – KOSMO

Authors

Pilihan Editor