HomeBerita10 pasangan Orang Asli selamat diijabkabulkan dalam satu majlis

10 pasangan Orang Asli selamat diijabkabulkan dalam satu majlis

CYBERJAYA: Baru-baru ini, 10 pasangan terdiri daripada masyarakat Orang Asli suku Semai yang tinggal di daerah Lipis, Pahang, selamat diijabkabulkan.

10 pasangan itu dirai bagai raja sehari dalam satu majlis persandingan bersempena program walimatulurus peringkat daerah Lipis 2023 anjuran Majlis Agama Islam Daerah Lipis dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Lipis.

Dalam program itu, 10 pasangan pengantin berusia antara 17 hingga 38 tahun itu telah dinikahkan oleh empat jurunikah yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Daerah Lipis, lapor Kosmo.

Salah seorang pengantin, Muhammad Zamrie Dading, 19, berkata, dia amat bersyukur kerana permohonannya untuk menyertai majlis pernikahan beramai-ramai itu telah diluluskan oleh pihak Majlis Agama Islam Daerah Lipis.

“Saya tidak sangka majlis perkahwinan saya bersama isteri akan menjadi semeriah ini kerana bukan sahaja diadakan secara besar-besaran, tetapi juga mempunyai kelainan apabila disandingkan bersama sembilan pasangan pengantin yang lain.

“Detik bahagia ini sudah pasti akan menjadi kenangan terindah saya dan isteri hingga akhir hayat kami,” katanya.

Zamrie yang berasal dari Kampung Orang Asli Sungai Tementong, Mela, Kuala Lipis bernikah dengan pasangannya, Rohimah Haris, 18, dari perkampungan yang sama.

Mereka adalah antara pasangan termuda yang dinikahkan pada majlis tersebut.

Satu lagi pasangan pengantin muda, Akhari Nayan, 20, dari Kampung Orang Asli Kuala Koyan turut bersyukur apabila dia dapat menikahi isterinya, Norfazila Razali, 17, yang juga dari kampung yang sama tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar.

“Pada majlis pernikahan dan persandingan ini, kami hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan bagi mas kahwin sahaja, manakala selebihnya ditanggung oleh Majlis Agama Islam Daerah Lipis.

“Ia sedikit sebanyak telah meringankan beban kami sebagai pasangan pengantin baharu untuk memulakan hidup sebagai pasangan suami isteri,” jelasnya.

Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Islam yang juga Penggerak Masyarakat Orang Asli Pejabat Agama Islam Daerah Lipis, Muhammad Shafiq Abdul Aziz berkata, kesemua 10 pasangan pengantin yang terlibat itu merupakan saudara baharu Islam dan datang dari pelbagai perkampungan Orang Asli sekitar daerah Lipis.

“Majlis ini merupakan program tahunan yang telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Daerah Lipis bagi meraikan pasangan pengantin terutama saudara baharu Islam untuk memulakan hidup baharu sebagai pasangan suami isteri.

“Program ini juga diadakan bagi mengelakkan masyarakat Orang Asli khususnya beragama Islam berasa terpinggir.

“Selain itu, ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada mereka mengenai tatacara perkahwinan dan pernikahan Islam serta adat resam Melayu.

“Melalui cara ini, diharapkan dapat menarik minat lebih ramai Orang Asli untuk mengenali Islam, seterusnya menjadi saudara baharu pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Shafiq lagi, bagi memudahkan perjalanan majlis, kesemua pasangan pengantin dan ahli keluarga telah dijemput oleh penganjur dari kawasan perkampungan masing-masing dan dibawa ke bandar Kuala Lipis bagi melangsungkan acara pernikahan.

Lebih menarik katanya, setiap pasangan pengantin hanya perlu mengeluarkan RM22.50 sebagai bayaran mas kahwin, manakala segala perbelanjaan lain termasuk bayaran pendaftaran perkahwinan, bayaran kepada jurunikah dan saksi serta jamuan kenduri ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Daerah Lipis.

Selain majlis akad nikah dan persandingan beramai-ramai, kesemua pengantin itu turut diraikan dalam majlis kenduri yang dihadiri ahli keluarga dan orang ramai dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuala Lipis.

Author

Pilihan Editor