HomeBerita17 laporan berkait ajaran Si Hulk di Selangor tahun ini – Polis

17 laporan berkait ajaran Si Hulk di Selangor tahun ini – Polis

 

SERDANG: Sebanyak 17 laporan diterima berkaitan aktiviti atau kumpulan ajaran sesat, Si Hulk, di seluruh kawasan negeri ini, Kata Ketua Polis Selangor.

Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun pengikut ajaran itu berkemungkinan berpangkalan di luar negara selepas rata-rata mereka melarikan diri dari negara ini.

“17 laporan polis diterima tahun ini, bagaimanapun angka keseluruhan laporan diterima adalah sebanyak 32 laporan di membabitkan negeri ini bagi tempoh beberapa tahun lalu.

“Laporan yang kita terima membabitkan aktiviti (ajaran) ini adalah pada awal tahun ini.

“Laporan-laporan itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perbarisan Ulang Tahun ke-7 Polis Bantuan Sime Darby Property Berhad, di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia, di sini hari ini, lapor Kosmo.

Hussein berkata, tiada kawasan khusus aktiviti ajaran berkenaan dikesan di negeri ini.

“Mereka sekarang ini sudah menghilangkan diri dan sebagainya. Kita percaya mereka tidak berada di Selangor.

“Mereka ini yang sudah dikenal pasti untuk tindakan tangkapan mungkin berada di luar negara,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman lima beranak dengan beraninya mengaku mereka adalah antara pengikut Si Hulk selain mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Allah.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menerusi satu kenyataan memutuskan fahaman serta ajaran yang diasaskan Suhaini Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

Difahamkan, Suhaini yang turut dipanggil Suhai Ibni Mohammad, Si Hulk atau apa jua gelaran dikaitkan dengannya, didapati membawa pelbagai fahaman dan ajaran yang bertentangan dengan Islam, antaranya mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.

Author

Pilihan Editor