HomeBeritaMahkamah & Jenayah1MDB minta tambah hutang di luar negara, Bank Negara tolak

1MDB minta tambah hutang di luar negara, Bank Negara tolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) cuba menambah hutang berjumlah RM4.9 bilion daripada sumber bank luar pesisir, namun ia tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, 1MDB membuat permohonan itu pada 3 Jun 2014, sebelum bank pusat menerima maklumat daripada risikan kewangan luar negara mengenai kemungkinan syarikat berkenaan terbabit dalam penyelewengan dana.

“BNM menolak permohonan ini dan oleh itu ia menghalang ‘skim besar’ yang mereka (1MDB) rancang,” katanya.

Zeti berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdulah pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saksi ke-46 pendakwaan itu berkata, syarikat terbabit kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan BNM, namun rayuannya juga ditolak.

Disoal Muhammad Shafee sama ada 1MDB berusaha merayu kepada Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Najib ketika itu, Zeti menjawab, “saya tidak tahu mengenainya.”

Katanya, beliau juga tidak mengetahui sama ada Najib menghubungi BNM dan memintanya menyemak semula keputusan itu.

Sementara itu, Zeti berkata, BNM perlu menimbangkan 1MDB mungkin menyimpan dana di luar negara untuk membayar balik hutang asingnya, namun syarikat itu tidak dapat memberikan sebarang maklumat mengenainya kerana dana itu sebenarnya tiada.

Beliau berkata, ketika perkara itu sedang diteliti pada 2015 dan 2014, 1MDB cuba mengambil hutang asing sekali lagi dan terpaksa membuat permohonan pada 3 Jun 2014.

Kataya, susulan itu 1MDB didenda RM15 juta selepas gagal mendapatkan kembali semua dana syarikat itu yang dikatakan disimpan di luar negara, di mana denda dilunaskan sepenuhnya pada 25 Mei 2016.

Menurutnya, dengan membayar denda berkenaan, 1MDB secara tidak langsung mengakui ia tidak mempunyai sebarang pelaburan atau simpanan di luar negara.

Zeti memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor