HomeBeritaADUN DAP saran Ketua Pengarah J-KOM ditukar

ADUN DAP saran Ketua Pengarah J-KOM ditukar

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menganggap Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) gagal dalam penyampaian maklumat terutama berkaitan inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Lantaran itu, Marina yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor menyarankan kerajaan untuk menukar Ketua Pengarah J-KOM, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Marina berkata, pertukaran itu perlu dilakukan berikutan banyak manfaat dan insentif diperkenalkan kerajaan dalam membantu rakyat tidak diketahui masyarakat.

“Tukar pengarah J-KOM. Penyampaian maklumat manfaat atau insentif diberikan Kerajaan Persekutan kepada rakyat tak sampai ke bawah pun.

“Untuk yang selalu buka pejabat bergerak dekat flat, dekat pasar macam kita orang ini (ADUN), apa kami nampak.

“Banyak insentif baik yang diberikan kerajaan pada rakyat contohnya, Skim Perubatan Madani, pergi sana sini bantu mohon, tak ramai pun tahu. Peka B40 dan MySalam dari zaman Pakatan Harapan (PH) pun ramai yang tak tahu.

“Kami (ADUN) buka pejabat bergerak sebab rasa sayang, banyak skim baik rakyat tak tahu, bila tak tahu rakyat tak dapat nikmati manfaat tu. Kawasan bandar pun ramai tak tahu, apa kamu rasa kawasan kampung (akan tahu). Pergi kawasan orang asal, kita juga kena terangkan,” katanya dalam hantaran di laman Twitter.

Julai lalu, J-KOM dilapor mengundang kritikan ramai apabila menyiarkan infografik yang menyatakan belanja dapur satu keluarga adalah kurang daripada RM400 sebulan, manakala belanja untuk individu bujang adalah kira-kira RM200 sebulan.

Infografik itu dilaporkan mengundang kritikan dengan ramai menyifatkannya sebagai tidak realistik, berikutan perbelanjaan itu tidak termasuk keperluan asas lain seperti gula, susu, bawang dan sayuran.

Mengulas lanjut, Marina berkata, kebanyakan ADUN termasuk dirinya sering berhadapan isu masyarakat yang tidak mengetahui langsung manfaat dan insentif kerajaan bagi membantu mereka.

Katanya, beliau sudah membuka pejabat bergerak sejak 2016 lagi dan dapat mengesan trend kaum yang sangat peka mendapat maklumat manfaat kerajaan dan kaum yang ketinggalan seolah-olah maklumat tidak sampai kepada mereka.

“Ada orang bila baca nak ambil tahu, ada orang bila baca pening sebab tak faham cara nak mohon insentif tu sebab bercelaru dan keliru. Ada orang langsung tak tahu apa-apa. Setiap kali buka pejabat bergerak akan ada rakyat yang maklumkan kenapa mereka tak tahu pun (ada insentif bantuan kerajaan).

“Tak percaya. Buat sendiri culaan dekat lapangan, berapa ramai yang sampai kepada mereka maklumat insentif bermanfaat yang diberikan kerajaan kepada rakyat atau skim-skim ditawarkan,” katanya.

Author

Pilihan Editor