PETALING JAYA: Seorang wanita membuat laporan polis selepas kecewa dan marah dengan pembantu rumah yang memukul dan menghayun bayi perempuannya yang berusia dua bulan dalam satu kejadian kelmarin.
Wanita yang dikenali sebagai Amyra Nadya berkata, dia menyedari kejadian itu selepas meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) rumahnya selepas mendengar bunyi kuat dari bilik anaknya.
“Luluh hati saya bila tengok balik rakaman CCTV, walhal anak saya ni senang sangat dijaga.
“Kuat dia pukul. Saya terus halau dia keluar rumah kerana dia berani buat begitu ketika saya ada di rumah,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Amyra, dia berada di rumah kerana menguruskan perniagaan secara online dan tak pernah tinggalkan anaknya sendirian dengan amah tersebut.
“Itupun dia berani buat dan nasib baik ada CCTV. Saya sudah buat laporan polis dan menyerahkan perkara itu kepada ejen perkhidmatan pembantu rumah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ujar Amyra, sebelum ini dia ada pengalaman buruk dengan pembantu rumah yang melarikan barang kemas miliknya bernilai lebih RM5,000.
Terdahulu, Amyra berkongsi mengenai kejadian itu di akaun TikTok miliknya yang turut meraih simpati orang ramai dan mengecam perbuatan pembantu rumah tersebut.
“Kesian bayi itu, masih kecil sudah dipukul. Lebih baik berhentikan saja pembantu rumah, takut kejadian lain pula yang berlaku kepada anak awak,” pesan Risa.
“Ya Allah, majikan baik, pembantu rumah pula yang bermasalah. Semoga dapat pembantu rumah yang baik selepas ini,” kata Aisyah Che Mat.
“Sebab inilah saya tidak percayakan sesiapa kalau dengan anak saya. Biarlah saya tidak bekerja, janji anak-anak saya sentiasa selamat,” tulis seorang pengguna. – Kosmo!