KUALA PILAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan bagi penggal kedua berturut-turut.
Aminuddin, 56, yang merupakan Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini.
Turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.
Turut hadir, isteri Aminuddin, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Selepas tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, PH dan BN berjaya membentuk kerajaan Negeri Sembilan apabila menang dengan majoriti dua pertiga daripada 36 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
PH menang sebanyak 17 buah kerusi DUN dan BN menang di 14 buah kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) sebanyak lima buah kerusi.
Aminuddin yang merupakan Ahli Parlimen memperoleh 12,730 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal yang mendapat 10,068 undi serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu (83 undi) dan Mohammed Hafiz Baharudin (339 undi) menang dengan majoriti 2,662 undi.
Dalam ucapannya pada istiadat itu, Aminuddin menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Muhriz melantik beliau sekali lagi menerajui kerajaan negeri. – Kosmo!