KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion sebagai dana awal untuk Fasiliti Peralihan Tenaga Negara bagi membolehkan pemangkin kewangan secara teradun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan tersebut akan
mengupayakan pemangkin kewangan berkenaan dalam memastikan kelancaran aliran sumber kewangan ke arah projek-projek peralihan tenaga yang berpotensi secara marginal atau menghasilkan pulangan di bawah pasaran.
“Kemajuan kita dengan mengambil kira keadaan semasa teknologi penyahkarbonan Malaysia yang belum matang, banyak bergantung kepada sumber tenaga alternatif serta kerjasama serantau dan antarabangsa yang mantap. Sehubungan itu, kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion sebagai dana asas untuk Fasiliti Peralihan Tenaga Negara.”
“Contohnya, pelaburan dalam rantaian nilai kenderaan elektrik (EV), hidrogen dan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS),” katanya.
Beliau berkata demikian di Persidangan Peralihan Tenaga Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2023 yand diadakan dalam Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Perdana Menteri berkata, sekurang-kurangnya RM1.2 trilion pelaburan diperlukan di antara 2023 dan 2050 bagi membolehkan pelaksanaan peralihan tenaga dilakukan dengan penuh tanggungjawab.
Dalam dekad ini sahaja, kerajaan memerlukan di antara RM60 bilion dan RM90 bilion bagi projek penting.
“Antaranya mengembangkan pengangkutan awam, pengukuhan infrastruktur grid, dan latihan semula modal insan,” katanya.