ARMADA Bersatu (Armada) menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk meletakkan jawatan serta-merta.
Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, desakan itu dibuat susulan keputusan mahkamah yang melepaskan dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan rasuah.
Apatah lagi, beliau berkata, mahkamah mendapati pertuduhan terhadap Muhyiddin sebagai tidak berasas dan tidak dapat dipertahankan.
Justeru, beliau menyifatkan pertuduhan tersebut sebagai amat cacat dan bermotifkan politik untuk mencemarkan nama baik Muhyiddin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak awal lagi.
“Pertuduhan ini jelas direka-reka bagi tujuan politik, khususnya untuk melemahkan Bersatu dan mempengaruhi sokongan rakyat sebelum Piliharaya Umum di enam negeri diadakan, ” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Muhyiddin, selepas membenarkan permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin memfailkan notis usul pada 18 April lalu untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat pertuduhan berkenaan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
Beliau mendakwa, ia berikutan tiada mana-mana satu pun daripada pertuduhan itu mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.