HomeBeritaPolitikBN beri laluan kepada Amanah untuk PRK Pulai, Simpang Jeram

BN beri laluan kepada Amanah untuk PRK Pulai, Simpang Jeram

KUALA LUMPUR: Pimpinan Barisan Nasional (BN) sepakat memberikan laluan kepada parti Amanah untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram, di Johor pada 9 September ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pimpinan BN merasakan Amanah berhak mempertahankan kerusi tersebut, yang kosong susulan kematian timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Kita amat menghormati kebersamaan Amanah sebagai rakan kongsi politik dalam Kerajaan Perpaduan. Kita tahu bahawa kerusi parlimen itu adalah hak parti Amanah iaitu rakan kongsi politik kita dalam Kerajaan Madani.

“Maka kita harus menghormati mereka sebagai calon boleh menang. Yang keduanya, kerusi DUN itu juga kepunyaan parti Amanah.

“Maka atas semangat Kerajaan Madani itu kita akan mendukung kedua-dua calon untuk berusi itu untuk ditandingi oleh parti Amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Jelita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini, lapor Utusan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor adalah pada 9 September.

Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

PRK itu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram selepas kematian Salahuddin pada 23 Julai lepas.

 

Author

Pilihan Editor