HomeBeritaDana khas RM40 juta ambil 20,000 pekerja hingga akhir tahun

Dana khas RM40 juta ambil 20,000 pekerja hingga akhir tahun

 

CYBERJAYA: Kementerian Ekonomi akan menyediakan dana khas sebanyak RM40 juta untuk pengambilan 20,000 pekerja sehingga akhir tahun ini.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, dana itu akan digunakan untuk membayar insentif penempatan pekerja agar golongan muda tidak dibebankan dengan kos membayar deposit rumah sewa dan perpindahan dari kawasan kampung.

Selain itu, beliau berkata, dana itu akan digunakan untuk membayar insentif lulus kekal dalam pekerjaan serta insentif pensijilan sekiranya pelatih kekal dalam pekerjaan sehingga 18 bulan untuk menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Majikan pula diberikan insentif latihan bagi pelatih yang disijilkan di akhir tempoh sembilan hingga 18 bulan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas mengenai Academy in Industry (Ail) yang dilancarkan pada Selasa, Rafizi berkata, program itu memberi tumpuan untuk membolehkan golongan muda dan rentan menyertai sektor pekerjaan teknikal tanpa kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terlebih dahulu.

Jelasnya, pendekatan baharu itu mengambil kira kecenderungan golongan muda yang lebih berminat untuk bekerja terus tanpa melanjutkan pelajaran selepas alam persekolahan.

Melalui program ini, katanya, majikan-majikan yang memenuhi syarat termasuk dari segi modul latihan, jenis kandungan teknikal dalam pekerjaan dan gaji yang ditawarkan dilesenkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Ini penting untuk melatih dan mensijilkan pekerja-pekerja mereka selepas pekerja melalui tempo kerja-latihan selepas sembilan hingga 18 bulan bergantung kepada jenis kemahiran yang dipilih.

“Ini bermakna anak-anak muda seawal 18 tahun boleh mula bekerja dan mempunyai prospek kerjaya teknikal kerana mereka akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selepas sembilan hingga 18 bulan bekerja, berbanding pendekatan sedia ada yang memerlukan kelulusan kursus TVET sepenuh masa selama 24 bulan sebelum mereka boleh mencari pekerjaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan tauliah kepada 200 syarikat pertama yang menyertai Ail, bagi membolehkan mereka mengambil pekerja tempatan untuk menggantikan pekerja asing sedia ada.

Beliau berkata, anggaran awal menunjukkan bahawa syarikat tersebut berkemampuan menerap sehingga 20,000 golongan muda dan rentan untuk menjadi pekerja di sektor pembuatan dan teknikal selain dibayar dengan gaji bersih sekitar RM2,000 sebulan.

Selepas mengambil kira pengambilan kumpulan pertama pelatih yang ramai, katanya program itu akan diteruskan dengan pengambilan seterusnya untuk mewujudkan kumpulan pekerja teknikal tempatan yang besar.

“Dengan jumlah yang besar, kerajaan akan meningkatkan tahap pensijilan melalui kaedah kerja-latihan dari SKM hingga ke peringkat diploma dan universiti.

“Ini akan membolehkan lepasan sekolah di masa hadapan berpeluang untuk memilih aliran pendidikan tinggi yang bersesuaian dengan kecenderungan mereka, iaitu aliran formal (pengajian sepenuh masa di institusi pengajian tinggi) atau aliran teknikal kerja-latihan (seperti yang diamalkan di negara-negara seperti Jerman).

Tambahnya, permohonan untuk menyertai Ail akan dibuka secara atas talian dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

 

Author

Pilihan Editor