HomeBeritaPolitikDAP gantung keahlian individu berucap kata kesat

DAP gantung keahlian individu berucap kata kesat

CYBERJAYA: Ucapan bersifat provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat oleh seorang ahli DAP tercetus pada Jun lalu dan bukan ketika tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ucapan individu yang tidak mewakili kepimpinan parti itu dilakukan dalam satu majlis makan malam anjuran sebuah cawangan DAP.

Beliau berkata, klip video lama itu sengaja ditularkan oleh pihak tertentu pada waktu kritikal PRN, dengan tujuan untuk mematahkan momentum kempen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Saya menyeru semua penyokong PH dan BN tidak terpengaruh dengan klip video tersebut yang tidak sama sekali mewakili akhlak dan pendirian DAP.

“Saya telah mengarahkan supaya status keahlian individu tersebut digantung serta-merta sementara Jawatankuasa Disiplin DAP mengambil tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam video itu, seorang lelaki berpakaian jaket DAP dilihat menyampaikan ucapan dalam bahasa Kantonis yang disertakan sarikata mencerca ‘Parti Serban’.

Katanya, parti itu terkenal kerana memainkan isu agama dan perkauman, selain sering berkata ia akan ‘menang besar’ dalam PRN enam negeri.

“Mereka fikir kami mudah dibuli, tetapi kami tidak takut dengan mereka kerana kami mempunyai sokongan anda.

“Malah, UMNO telah tampil meminta permohonan maaf daripada kami. Apa yang lebih kelakar ialah MCA (telah meminta permohonan maaf daripada kami) juga,” katanya.

Pada Khamis, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh meminta Loke mengesan lelaki berkenaan.

Beliau berkata, individu itu perlu meminta maaf serta diberikan hukuman sewajarnya selain menyifatkan ucapan individu berkenaan sangat kurang ajar.

Author

Pilihan Editor