HomeSukanFAM tolong 'tak ikhlas'

FAM tolong ‘tak ikhlas’

KUALA LUMPUR: “Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sepatutnya tolong seawal 27 Julai dan bukannya tolong selepas 4 Ogos,” kata pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.

Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham itu melontarkan ketidakpuasan hatinya susulan tindakan badan induk itu yang didakwa seakan tidak ikhlas untuk membantu mereka menyelesaikan masalah pendaftaran pemain pasukan itu.

Susulan isu terbabit, skuad ‘The Red Warriors’ tidak dapat mendaftarkan empat pemain import baharu untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Jendela khusus untuk Kelantan FC dibuka pada 27 Julai hingga 1 Ogos dan kita sudah menghantar nama pemain baharu ke dalam MyPass MFL.

“Tetapi ada masalah teknikal untuk TMS bagi pemain asing yang sudah diketahui orang FAM seawal 27 Julai. Jadi mereka sepatutnya tolong semasa kita laporkan masalah itu, bukan tolong selepas 4 Ogos.

“Saya sudah laporkan kepada FAM, saya telefon Presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin), Setiausaha Agung (Noor Azman Rahman) maklumkan mengenai masalah pendaftaran sebelum tarikh 1 Ogos.

“Kenapa hanya tolong pada 4 Ogos? Adakah mereka betul-betul ikhlas nak bantu kerana mereka hantar surat pada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan minta lanjutan untuk semua pasukan, mestilah tak dapat (FIFA luluskan).

“Hanya selepas 15 Ogos, baru mereka maklumkan ia sebenarnya membabitkan masalah teknikal TMS. Jadi hak Kelantan FC untuk mendaftarkan pemain dinafikan kerana kegagalan FAM.

“Kenyataan FIFA yang tidak benarkan lanjutan, memanglah FIFA takkan benarkan. Tak perlu tuding jari cakap ini masalah Kelantan FC sedangkan FAM adalah tempat mengadu apabila membabitkan masalah teknikal TMS.

“FAM satu badan sukan yang dihormati mestilah benar-benar ikhlas membantu pasukan demi penswastaan sebenar dan hal-hal teknikal perlu diperhalusi bersama,” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor