CYBERJAYA: Syarikat penghantaran makanan popular, Foodpanda kini menawarkan perkhidmatan baharu dikenali ‘pandago’ yang membolehkan pengguna menghantar bungkusan dalam tempoh kurang 60 minit.
Ketua Pegawai Eksekutif Foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, perkhidmatan pandago memudahkan pengguna yang memerlukan sesuatu barangan itu dihantar dengan segera, seperti barangan yang mudah luput dan dokumen penting, walaupun pada awal pagi.
“Penghantaran adalah sebahagian penting daripada kehidupan kita hari ini dan sememangnya bukan mudah untuk menghantar barangan seperti ubat-ubatan, kunci, dokumen atau item-item yang anda tertinggal di tempat lain.
“Dengan pandago, pelanggan boleh menghantar apa-apa barangan kecil dengan mudah pada bila-bila masa tanpa perlu membayar lebih,” katanya.
Foodpanda turut menyatakan bahawa perkhidmatan pandago tidak mempunyai waktu yang spesifik sekali gus membolehkan pengguna menghantar hadiah secara mengejut pada bila-bila masa, walaupun pada tengah malam.
“ Pelanggan juga boleh menjejaki penghantaran mereka dengan mudah menggunakan fungsi penjejakan masa nyata yang menyediakan maklumat terkini mengenai status penghantaran.
“Mereka juga dapat berbual dengan rakan penghantaran yang ditugaskan untuk mengemaskini butiran penghantaran mereka atau sekadar untuk menyatakan ucapan penghargaan atas perkhidmatan yang telah disempurnakan,” maklum Foodpanda.
Tambah Foodpanda, perkhidmatan baharu ini memberi manfaat khususnya kepada pengendali restoran yang mahu mengekalkan sistem penghantaran segera pesanan milik mereka tetapi tidak mempunyai sumber untuk memiliki flit penghantaran mereka sendiri.
Justeru, sempena sambutan pelancaran pandago, pengguna pandago boleh menikmati potongan sebanyak 20 peratus untuk penghantaran pertama mereka dengan menggunakan baucar ‘PANDAGO’.
“Menerusi pandago, pengguna dengan mudah boleh meminta penunggang foodpanda menghantar barangan mereka dengan mengemaskini aplikasi foodpanda mereka kepada versi yang terkini dan klik pada butang “pandago”,’ maklumnya.