SHAH ALAM: Kekalahan besar UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini kerana parti itu memutuskan untuk bergabung bersama DAP, kata Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ahli Parlimen Arau itu menyifatkan bahawa, kerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) terbabit sebagai satu kesilapan besar, sekali gus menyebabkan sokongan terhadap UMNO ditolak oleh kaum Melayu.
Namun, beliau tidak meletakkan kesalahan itu di atas bahu ahli UMNO semata-mata, sebaliknya ia adalah tanggungjawab Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Ada yang kata saya sebagai pengkhianat (terhadap UMNO), sebaliknya Presiden UMNO yang khianat kepada orang UMNO dan penyokong DAP.
“Beliau kena ingat kenyataan yang beliau keluarkan itu baru sangat iaitu No Anwar No DAP. Tapi tiba-tiba bersatu,” katanya merujuk kepada gabungan kerajaan PH dan Barisan Nasional (BN).
Shahidan ditemui selepas sidang media Perikatan Nasional (PN) berhubung keputusan PRN di enam negeri di Hotel Concorde, di sini pada Sabtu.
Pada PRN kali ini, UMNO mewakili BN hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.
Beliau berkata, ini penting untuk memberi ruang kepada pemimpin lain menerajui parti tersebut, seterusnya melakukan gabungan bersama PN.
“Kalau UMNO nak pulih kena bersama PN, kalau tak, rakyat akan terus tolak.
“Kena ingat bahawa orang Melayu di negara ini (dikomposisi) dengan kadar 62 peratus dan campur Bumiputera Sabah dan Sarawak menjadikan jumlah 70 peratus. Jadi, kita jangan nafikan jumlah pendudukan majoriti di negara ini,” katanya.