CYBERJAYA: Kediaman atau premis bangunan yang dihiasi Jalur Gemilang mengikut kreativiti tersendiri berpeluang memenangi Anugerah Semarak Gemilang dengan hadiah bernilai RM3,000.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, anugerah itu bukan pertandingan sebaliknya penghargaan kepada rakyat Melaka yang bersungguh-sungguh menyemarakkan bulan kemerdekaan.
Menurutnya, penilaian bagi anugerah berkenaan akan dilaksanakan oleh Sekretariat Jabatan Penerangan (JaPen).
“Semoga dengan semangat mengibarkan jalur gemilang ini dapat menyemarakkan semangat rakyat dalam Kerajaan Perpaduan Madani supaya kita lebih melangkah ke hadapan.
“Ia demi memastikan bahawa semangat patriotisme ini dapat disemai kepada seluruh rakyat Melaka khasnya dan rakyat Malaysia amnya sempena dengan bulan kemerdekaan,” katanya seperti dilapor Melaka Hari Ini pada Ahad.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada Sabtu malam.
Tambah Ab Rauf, anugerah berkenaan antara kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan Kerajaan Negeri menerusi Ahli Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Kecil Sambutan Bulan Kebangsaan.
Katanya, antara program berkenaan termasuk Program Semarak Gemilang iaitu satu daerah satu program; Info On Wheels Khas Bulan Kebangsaan dan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasa (JIWA) Khas Merdeka serta Pertandingan Sketsa Rukun Negara melibatkan pelajar sekolah menengah yang menganggotai Kelab Malaysiaku.
“Selepas pelancaran ini kita akan minta PBT (pihak berkuasa tempatan) menggalakkan semua pemilik bangunan atau pemilik rumah kediaman mengibarkan jalur gemilang sebagai tanda cinta kepada negara,” maklumnya.