CYBERJAYA: Sepasang suami isteri terkejut apabila pintu bilik hotel diketuk pada pukul 4 pagi oleh anggota penguatkuasa agama yang datang untuk membuat pemeriksaan selepas menerima aduan daripada orang awam.
Menerusi perkongsian video TikTok Zed Rodzuan, pasangan itu mendakwa kemungkinan anggota itu hadir disebabkan peniaga kedai makan yang tidak berpuas hati dengannya berikutan berlaku perselisihan faham antara mereka.
Bagaimanapun, pasangan itu tidak ditahan kerana lelaki yang dikenali sebagai Zed itu menunjukkan kad kahwin yang membuktikan mereka pasangan suami isteri yang sah.
Difahamkan, pada malam kejadian, Zed dan isterinya berkunjung ke sebuah kedai makan untuk menjamu selera.
Namun, disebabkan makanan yang dipesan mengambil masa yang lama, mereka mengambil keputusan untuk makan di kedai lain.
“Al kisahnya, kami pergi ke kedai makan dan order makanan, selepas sejam menunggu, makanan masih belum sampai. Jadi kami letak duit di atas meja dan terus blah dari situ.
“Kami pergi ke kedai mamak bersebelahan, sebab dah kebulur dari siang tak makan,” katanya.
@zed.rodzuan Replying to @Sharifah Nurfarah Yannis alkisahnya kami makan kat kedai makcik tu, lepas tu dia sidai kami sejam tak dapat makan so kami letak duit atas meja dan blah terus dari situ sebab kebulur dari siang tak makan and gerak kedai mamak sebelah. So bermulalah segala tragedi
Zed tidak menyangka peniaga itu tidak berpuas hati dengannya walaupun dia telah meletakkan duit bayaran tanpa menjamah makanan yang dipesan.
“Sekarang makcik tu tak puas hati dan datang mencari kami di kedai mamak dan buat macam ni (merakam gambar) dan kata ‘terima kasihlah buat makcik macam ni’.
“Dia beredar dari kedai mamak dan hantar suami dia pula untuk spy kitorang sampai masuk bilik hotel ni dan kata, oh check hotel rupanya. Boleh panggil pejabat agama.
“Sekarang ni kau dah menyusahkan aku, kitorang kena pergi travel jam 4 pagi tengah tidur pintu bilik diketuk,” luahnya.