KUALA LUMPUR: Syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan mengemukakan permohonan agar saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan semula 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta, diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini secara penghakiman terus.
Penghakiman terus ialah prosedur yang mana tuntutan saman itu diputuskan oleh mahkamah tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta dalam kes terlibat atau undang-undang, tidak dipertikaikan.
Permohonan itu difailkan syarikat itu semalam melalui firma guaman Tetuan David Gurupatham & Koay bagi mendapatkan perintah supaya barang kemas tersebut dikembalikan dalam keadaan baik dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.
Menerusi dokumen yang diperoleh, Global Royalty mendakwa, Rosmah secara berterusan gagal untuk menjelaskan tuntutan barang kemas terbabit.
“Defendan (Rosmah) tidak mempunyai pembelaan yang bermerit dan bersifat penafian kosong semata-mata. Oleh itu, tiada keperluan prosiding perbicaraan dibuat kerana isu-isu yang dibangkitkan oleh defendan tidak memerlukan penilaian kredibiliti saksi, sama ada untuk dilihat, dinilai atau didengar oleh mahkamah,” kata plaintif menerusi dokumen tersebut.
Selain itu syarikat itu berkata, pembelaan atau isu yang dibangkitkan oleh Rosmah, jelas tidak mampan di sisi undang-undang atau berdasarkan fakta, sekali gus mengelakkan perlunya perbicaraan dijalankan.
Tanpa prosiding itu kelak, plaintif berkata, ia akan menjimatkan masa dan kos memandangkan tiada isu boleh dibicarakan dalam kes ini, lapor Kosmo!.
Sementara itu, Rosmah pula memfailkan permohonan supaya Global Royalty diperintahkan memberikan jaminan kos sebanyak AS$1 juta (RM4.59 juta) kepada mahkamah, dan memohon saman itu dibatalkan jika syarikat terbabit gagal berbuat demikian.
Dalam permohonannya, Rosmah berkata jaminan kos itu adalah kerana jika beliau berjaya di dalam tindakan saman dan memperolehi kos terhadap syarikat terbabit, dia akan menghadapi kesukaran menguatkuasakan perintah kos kerana Global Royalty sebuah syarikat asing.
Pada 29 Mac lalu, Global Royalty menyaman Rosmah buat kali kedua dengan menuntut perintah mandatori supaya barang kemas berkenaan dikembalikan atau dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.
Dalam penyataan tuntutannya, Global Royalty mendakwa Rosmah menandatangani nota konsainan (kiriman) mengakui penerimaan barang kemas itu mengikut terma dan syarat seperti dinyatakan pada 22 Mei 2018.
Plaintif berkata, ia memaklumkan membuat beberapa panggilan telefon kepada isteri bekas Perdana Menteri itu memintanya untuk mengembalikan barang kemas terlibat.
“Selepas itu, defendan mengesahkan secara bertulis melalui surat diakui sendiri bahawa barang kemas yang dikonsain (dikirim) kepadanya tiada dalam miliknya, tetapi disita pihak berkuasa dan kini dalam jagaan mereka.
“Namun, dengan harapan dapat menyelesaikan perkara ini secara baik dan mengekalkan persahabatan, kami sekali lagi meminta defendan memulangkan barang kemas itu.
“Walaupun beberapa kali meminta memulangkan barang kemas itu, defendan masih gagal, abai dan enggan memulangkannya,” katanya.
Terdahulu Pada tahun 2019, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah untuk menuntut barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi menarik balik saman berkenaan.
Dalam saman asalnya, syarikat itu mendakwa pada 10 Februari 2018, ia menghantar barang kemas termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, kepada Rosmah yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya.