HomeBeritaGuan Eng saran cuti khas 12 Ogos, mudahkan rakyat buang undi PRN

Guan Eng saran cuti khas 12 Ogos, mudahkan rakyat buang undi PRN

BUTTERWORTH: Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menyuarakan saranan agar 12 Ogos ini diisytihar sebagai cuti khas di Pulau Pinang.

Katanya, perkara itu penting bagi memudahkan rakyat menjalankan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Tambah beliau, saranan itu dibuat kerana wujud kebimbangan peratusan keluar mengundi merundum sekali gus menyebabkan keputusan tidak berpihak kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Kita kena ambil berat, suka tak suka, rela tak rela kita kena terima hakikat iaitu kita bimbang tentang peratusan keluar undi, kalau peratusan keluar undi tidak seperti PRU15, kita bimbang mungkin keputusan tak memihak kepada pihak kita.

“Oleh sebab itu, kita kena pastikan semua penyokong kita dapat kembali (balik) untuk buang undi. Sungguhpun ada yang tak berapa rela, kita mesti yakinkan mereka dan saya harap manifesto (yang diumumkan malam tadi) dapat yakinkan penyokong kita dari luar untuk pulang membuang undi.

“Itu juga sebabnya saya ingin minta daripada rakan saya, Chow Kon Yeow (Ketua Menteri Pulau Pinang) untuk membolehkan rakan-rakan kita pulang dan membolehkan yang ada di sini boleh buang undi dengan kita harus isytiharkan hari pembuangan undi pada 12 Ogos ini sebagai satu cuti khas untuk Pulau Pinang,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ahli Parlimen Bagan itu menyuarakan cadangan berkenaan ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan memandangkan pemberian cuti seumpama itu bukanlah diberikan setiap tahun.

“Ini (cuti khas) bukanlah setiap tahun (diberikan) dan dalam tempoh lima tahun hanya sekali sahaja (cuti seumpama ini diberikan).

“Kita harus berikan segala kelonggaran untuk membolehkan sistem demokrasi dan rakyat menggunakan hak mereka membuang undi dengan sepenuhnya,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor