HomeBeritaGuna tujuan lain punca minyak masak bersubsidi kurang - KPDN

Guna tujuan lain punca minyak masak bersubsidi kurang – KPDN

KUALA LUMPUR: Tindakan sesetengah pihak yang menggunakan minyak masak bersubsidi bagi tujuan lain antara punca bekalan keperluan asas itu berkurangan.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, kuota minyak masak bersubsidi diluluskan kerajaan kepada jumlah isi rumah yang layak sebelum ini adalah mencukupi.

“Bagi penentuan minyak peket atau minyak subsidi, kerajaan sebelum ini memutuskan bahawa kuota kepada isi rumah adalah 60,000 tan metrik setiap bulan. Tetapi, apabila kita membuat kajian semula keperluan ini, kita dapati minyak masak digunakan untuk tujuan-tujuan lain.

“Sebagai contoh, apabila kita melaksanakan jualan Rahmah dan sebagainya, sudah tentu ia memerlukan sumbangan daripada pihak-pihak tertentu untuk menjayakan kempen tersebut.

“Jadi ini bermakna ada minyak masak yang sepatutnya disediakan di peringkat peruncitan telah pun digunakan untuk kempen-kempen khas ini selain ada faktor lain,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan majlis My Gaya Month 2023 sempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Farenheit 88 di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk menyarankan kepada kerajaan supaya mempertimbang pertambahan kuota minyak subsidi.

Meskipun keputusan itu bergantung kepada kerajaan, katanya, pihaknya juga akan sedaya upaya mengatasi masalah tersebut khususnya di peringkat peruncitan.

Jelasnya, ini demi kepentingan rakyat agar mereka yang benar-benar layak memperoleh minyak subsidi berkenaan.

“Selepas ini saya percaya beberapa kajian akan dibuat untuk menentukan proses yang berbentuk subsidi bersasar diperkenalkan.

“Jadi, bila kita memperkenal subsidi bersasar, maka kita akan bawa ke peringkat kerajaan untuk menentukan kumpulan bersasar yang dimaksudkan dari segi konteks pendapatan isi rumah dan sebagainya.

“Saya percaya di mana-mana ada kekurangan ini tetapi bukan untuk jangka panjang. Kita akan cuba atasinya dengan berunding bersama pengeluar untuk membekalkan minyak masak di lokasi yang didapati berlaku kekurangan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga akan turun padang untuk menyemak ketirisan di peringkat pengeluar atau peruncit

Selain itu, pihaknya akan membuat pemantauan mengenai tabdir urus atau tatakelola pengurusan minyak subsidi menerusi pengenalan sebuah sistem.

“Sistem ini akan memantau pengeluar kilang ke pemborong ke peruncit demi memastikan minyak masak bukan mudah untuk diselewengkan,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor