HomeBeritaPolitikHanya referendum rakyat, sokong PN boleh pulihkan UMNO - Annuar Musa

Hanya referendum rakyat, sokong PN boleh pulihkan UMNO – Annuar Musa

CYBERJAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini merupakan peluang terakhir untuk ahli dan penyokong UMNO menyelamatkan parti itu, kata Tan Sri Annuar Musa.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata, usaha memulihkan parti terbesar kaum Melayu itu boleh dilakukan menerusi referendum rakyat dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN)

Annuar berkata, hanya dengan itu sahaja, UMNO akan menyedari bahawa rakyat menolak parti itu disebabkan kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi sekarang hanya ada satu ruang, iaitu sekiranya ahli-ahli UMNO bekerjasama menunjukkan isyarat UMNO ditolak oleh rakyat, kesemua sekali kerana Presidennya (Ahmad Zahid).

“Maka itu peluang terbaik untuk memperbaiki UMNO apabila Ahmad Zahid terpaksa akur kepada satu referendum rakyat pada pilihan raya akan datang.

“Dan ini peluang terakhir ahli-ahli UMNO menyelamatkan UMNO dengan menyertai referendum rakyat, walaupun terpaksa melihat UMNO kalah teruk.

“Hanya dengan kekalahan yang teruk, barulah UMNO dapat diselamatkan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, jika UMNO menang dalam PRN ini, parti itu didakwa akan terus menjadi ‘alat’ kepada DAP, manakala Ahmad Zahid pula kekal dengan dasarnya ketika ini.

“DAP makin kukuh dan Ahmad Zahid akan kekal dengan dasar dia sekarang,” tambah Annuar.

Ditanya sama ada beliau masih menyayangi UMNO, Annuar berkata, semua orang Melayu menyayangi parti itu termasuk PAS.

“Tapi PAS tidak pernah nak mematikan UMNO. Kita berjuang seiring dengan UMNO. UMNO ada peranan dia, dan PAS ada peranan dia.

“Bila UMNO lemah, PAS wajib menjadi pengganti. Sekarang PAS mesti mengambil obor-obor yang dicampak oleh UMNO,” katanya lagi.

Mengenai peluang PN di enam negeri, Annuar yakin pengundi Melayu dan bukan Melayu akan bersatu padu di bawah obor sama dengan menyokong PN.

Author

Pilihan Editor