KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memutuskan untuk menggunakan logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan sama yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, meskipun mengikut tema yang diperkenalkan kerajaan iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, terdapat sedikit penambahan perkataan pada tema berkenaan.
Menurutnya, tema tersebut akan disambung dengan perkataan Membangun Bersama Islam yang merupakan slogan bagi Kerajaan Negeri Kelantan.
“Penambahan perkataan pada tema itu untuk menyesuaikan dengan aspirasi kerajaan negeri. Jadi, tema rasmi bagi sambutan Hari Kebangsaan di Kelantan adalah Malaysia Madani – Tekad Perpaduan Penuhi Harapan Membangun Bersama Islam.
“Insya-Allah kita akan menyambut Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan, cuma akan ada sedikit berbeza pada tahun ini berbanding tahun-tahun yang lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan lapan Exco Kelantan.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Kelantan pada tahun ini akan berlangsung pada malam 30 Ogos bermula pukul 6.30 petang.
Katanya, ia akan dimulakan dengan Program Kelantan Berselawat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, sebelum bergerak ke dalam stadium tersebut untuk sambutan rasmi dan sambutan Ambang Merdeka.
“Pelbagai acara dianjurkan pada malam itu sementara menunggu detik ambang merdeka. Paling menarik, persembahan bunga api akan diadakan sekali gus di luar kebiasaan semasa sambutan ambang merdeka di Kelantan,” katanya. – Kosmo!