HomeBeritaMahkamah & JenayahHina institusi diraja: Tun M disiasat ikut Akta Hasutan

Hina institusi diraja: Tun M disiasat ikut Akta Hasutan

KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesahkan polis sedang menjalankan siasatan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bekas Perdana Menteri itu dirakam keterangan bagi membantu siasatan pada Selasa.

“Siasatan dijalankan ke atas Dr Mahathir berhubung kenyataan beliau yang berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja, yang disiarkan sebuah portal berita pada 6 Jun lalu.

“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Shuhaily berkata, USJT turut mengambil keterangan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Datuk Marzuki Yahya bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes masih pada peringkat siasatan, justeru orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga mengganggu proses siasatan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah.

“Elak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan, terutama membabitkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja),” katanya.

Terdahulu, Bukit Aman dilaporkan sekali lagi merakam percakapan Dr Mahathir berhubung kenyataan beliau sebelum ini mengenai proklamasi orang Melayu.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam satu rakaman video pada Selasa memaklumkan, proses itu dijalankan di Yayasan Albukhary selama kira-kira jam 30 minit bermula jam 3 petang Selasa.

Author

Pilihan Editor